
KULAIJAYA – Sebuah sindiket menyewa dua buah rumah di sini untuk dijadikan lokasi menguruskan kegiatan judi nombor ekor haram membabitkan ejen tempatan dan Singapura sejak setahun lalu.
Bagaimanapun kegiatan yang dikatakan melibatkan nilai perjudian RM96 juta setahun itu tumpas apabila diserbu polis petang kelmarin.
Dalam serbuan serentak pukul 6.45 petang di dua buah rumah sewa berasingan di Taman Sungai Emas dan Taman Inderapura di sini, enam pekerja berumur di antara 17 hingga 49 tahun termasuk empat wanita ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi itu.
Antaranya 14 mesin faksimili, dua komputer riba, enam telefon bimbit, enam mesin pengimbas, kertas pertaruhan dan alat tulis.
“Dua rumah tersebut dijadikan pusat penjumlahan judi bagi pertaruhan loteri awam secara haram di Johor dan Singapura yang membabitkan wang pertaruhan bernilai RM8 juta sebulan.
“Kita difahamkan sindiket itu mampu menerima pertaruhan sehingga RM400,000 daripada setiap pelanggan tempatan dan S$60,000 dari Singapura,” katanya selepas serbuan itu di sini kelmarin.
0 comments:
Post a Comment