Wednesday, November 24, 2010

Usaha biak semula ikan purba


BALAZIK bergambar bersama sturgeon terbesar yang pernah ditangkapnya sebelum melepaskannya semula di Sungai James.


PENYELIDIK Matt Balazik mengabadikan keghairahannya menyelamat sejenis spesies ikan purba Atlantik di tangan kanannya - lakaran tatu ikan sturgeon yang menghuni Sungai James di Hopewell, Virginia, Amerika Syarikat.

Pelajar kedoktoran berusia 30-an itu mengambil bancian sturgeon dengan menelusuri sungai berkenaan di dalam sebuah bot kecil sambil memeriksa jaring sepanjang 1,000 kaki (305 meter) yang dipasangnya.

Para saintis mempercayai ikan-ikan berkenaan merupakan kumpulan sturgeon Atlantik terakhir yang berjaya membiak di Teluk Chesapeake. Malangnya, sturgeon yang telah hidup sejak zaman dinosaur itu semakin berkurangan jumlahnya akibat aktiviti manusia.

Ramai yang mungkin pernah mendengar mengenai ikan gergasi itu sebelum melihatnya. Antara cerita yang disampaikan adalah tentang sturgeon yang melompat keluar dari air dan kemudian terhempas ke permukaan air dengan bunyi percikan yang kuat.

Ketika dalam salah satu pemeriksaan terakhirnya di sungai berkenaan hari itu, Balazik telah tertangkap seekor sturgeon di dalam pukatnya dan menaikkannya ke dalam bot. Dia merekod kepanjangan ikan tersebut, jantina, ukur lilit, berat dan menandanya serta mengambil gambarnya sebelum melepaskannya semula ke sungai.

"Kekuatan mereka begitu luar biasa. Ia memiliki personaliti hebat," kata Balazik yang terlebih dahulu belajar mengawal ikan tersebut berbanding melawannya.

Beberapa spesies sturgeon mendiami kawasan maritim Kanada sehingga ke Great Lakes dan Florida.

Atlantik yang suatu ketika dulu padat dengan sturgeon dan menjadi makanan utama penduduk Eropah di Amerika Utara dan penduduk peribumi Amerika kini hanya tinggal ratusan ekor di Teluk Chesapeake. Bilangan sebenarnya, bagaimanapun, tiada siapa yang tahu.

"Walaupun sturgeon sememangnya harus dikembalikan ke Teluk Chesapeake, ia akan berlaku tanpa mengetahui status populasi ikan itu di Sungai James," kata Greg C. Garman, Pengarah Pusat Pengajian Persekitaran Universiti Virginia Commonwealth.


DARI dalam bot ini, ikan yang ditanda dengan trasmiter dikesan melalui mesin imbasan khas.


Oktober lalu, Pentadbiran Atmosferik dan Laut Kebangsaan mengumumkan bahawa sturgeon dari Teluk Chesapeake adalah antara lima populasi pantai timur yang dicadangkan untuk perlindungan.

Selain itu, kawasan lain yang tersenarai meliputi New York sehingga Atlantik Selatan. Cadangan berkenaan adalah cubaan terdesak untuk menyelamatkan ikan-ikan berkenaan, kata Garman.

Semakin pupus

"Sturgeon adalah keluarga ikan yang paling terancam. Di seluruh dunia, mereka sudah semakin pupus," kata Brad Sewell, peguam kanan dengan Majlis Pertahanan Sumber Alam Semula Jadi yang menggesa perlindungan berkenaan.

Populasi sturgeon di seluruh dunia diancam aktiviti perikanan melampau, pencemaran dan pembinaan empangan yang menghalang ikan-ikan berkenaan bertelur dan membiak.

Awal tahun ini, Konsortium Kepimpinan Laut berpangkalan di Washington D. C. melaporkan bahawa 85 peratus populasi sturgeon di seluruh dunia menghadapi risiko kepupusan.

Di Amerika Syarikat (AS), populasi sturgeon merosot ketika akhir abad ke-19 ekoran permintaan tinggi terhadap telur ikan itu. Kini, ancaman terbesar kepada sturgeon Atlantik adalah pencemaran, perubahan cuaca dan kapal kargo yang melalui Sungai James dan Sungai Hudson di New York.

Garman pernah menemui ikan sturgeon yang terpotong dua akibat dilanggar kipas kapal-kapal berkenaan.

Sebelum sturgeon di teluk berkenaan dapat diselamatkan, pengkaji masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari. Ikan-ikan besar menghabiskan sebahagian besar hayatnya di perairan Atlantik Utara, kembali ke perairan aslinya iaitu di Sungai James untuk membiak. Garman menggelarkan sturgeon sebagai peneroka hebat.

"Ikan-ikan ini ditangkap di Hudson. Mereka bergerak di serata kawasan itu," katanya.

Beberapa tahun lalu, para pengkaji mengumumkan bahawa populasi sturgeon di Sungai James hampir pupus lantaran ahli biologi yang langsung tidak dapat menemui ikan tersebut. Nelayan komersial dikatakan telah menangkap ikan-ikan itu sehingga habis.

Pada tahun 1997, Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS menawarkan AS$100 (RM304) untuk setiap ekor sturgeon yang ditangkap. Ahli biologi kemudiannya diberi hampir 300 ekor sturgeon yang diperoleh dari Sungai James, York dan Rappahannock. Ikan-ikan tersebut ditanda sebelum dilepaskan semula ke sungai.


IKAN yang sudah diperiksa dan ditandakan dilepaskan semula ke habitatnya.


Sturgeon berukuran kira-kira 4.6 meter dan berat 45 kilogram. Ia ditemui buat kali pertama di Jamestown pada tahun 1609 oleh orang Inggeris yang belayar di Teluk Chesapeake.

Kerja pemeliharaan

Dengan sedikit dana penyelidikan yang tinggal, Garman dan para pengkaji lain dalam kerja pemuliharaan tersebut kini memanfaatkan tenaga penuntut universiti, teknologi yang dipinjam dan wang sumbangan komuniti perniagaan.

Pemuliharaan itu bertujuan membangunkan habitat tambahan untuk menggalakkan pembiakan, mempertahankan survival sturgeon dan mengurangkan jumlah kematian akibat berlanggar dengan kapal.

Usaha itu mencetus pengorbanan pelajar kedoktoran seperti Balazik. Dia yang dibesarkan dengan hasil ladang tenusu keluarga di James sering mendengar mengenai kisah sturgeon. Namun, dia tidak pernah melihatnya sendiri sehinggalah pada suatu hari dia dikejutkan dengan penemuannya ketika berkayak di Sungai James lebih lima tahun lalu.

"Ketika saya melihat ia melompat buat kali pertama, saya tahu itulah sturgeon," kata Balazik.

Dia yang sekarang ini sudah masuk tahun keempat menjalankan khidmat penyelidikan telah menemui dua ekor sturgeon pada tahun pertama dan 34 ekor tahun ini. Tangkapan terbesarnya adalah sturgeon yang sepanjang lapan kaki dan seberat kira-kira 136 kilogram.

Dia menjalin hubungan yang erat dengan ikan-ikan tersebut dan mengakui setiap daripadanya mempunyai personaliti tersendiri.

"Mereka berjaya hidup walaupun dilanda meteor, zaman ais dan letusan gunung berapi. Malang sekali ia tidak dapat bertahan dengan ancaman manusia," kesalnya.

0 comments:

Post a Comment